06 Mac 2011

BN menang kedua-dua kerusi

Barisan Nasional (BN) memenangi kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau yang ditandingi dalam pilihan raya kecil hari ini dengan majoriti undi masing-masing sebanyak 3,643 dan 2,724 undi.

Calon BN di Merlimau Roslan Ahmad mempertahankan kerusi dengan undi sebanyak 5,962 berbanding calon Pas Yuhaizad Abdullah yang mendapat 2,319 undi.
Di Kerdau, calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad meraih sebanyal 5,060 undi berbanding calon Pas Hassanuddin Salim yang mendapat 2,336 undi.

05 Mac 2011

PAS BERI BORANG AHLI KE SYURGA BUAT PENGUNDI KERDAU!!


 Inilah jalan terakhir PAS. Setelah pelbagai strategi dilaksanakan dilihat gagal, PAS kembali dgn landasan asal. Perjanjian ahli Syurga buat individu yg menyertai PAS. Akidah songsang ini tpaksa dilakukan krn tiada jalan lain lagi yg mampu dilakukan akibat protes yg semakin kemuncak bukan sahaja di kalangan pengundi malah beberapa kumpulan jentera PAS turut berang dan b'tindak protes mengundi calon BN. Syurga kini bagi PAS bukan sahaja di bawah tapak kaki seorang ibu, malah juga kini berada di tangan PAS. Jaminan syurga... Sayap parti PAS, Dewan Himpunan Penyokong PAS yg terdiri drpd bukan Islam sungguh 'bertuah' krn tidak perlu masuk Islam utk ke Syurga. DAP pun mungkin akan menikmati keindahan syurga agaknya 1 hari nanti. Hanya perlu menunggu fatwa dari Nik Aziz sahaja. Sedangkan bapa saudara Rasulullah sendiri yg sayangkan Baginda pun tidak merasa syurga, inikan pula ahli PAS? Siapa yg percaya dgn fatwa PAS ini? Mereka yg sesat lagi menyesatkan.

02 Mac 2011

Mursyidul Am Pas 'angkat bakul' sendiri

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini bertindak seperti 'mengangkat bakul sendiri' apabila mendakwa Pas berjaya membangunkan rakyat serta Kelantan sepanjang lebih 20 tahun memerintah negeri itu.
  
Dakwa Menteri Besar Kelantan itu, kejayaan tersebut kini turut berlaku di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang seperti Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Jelas beliau, bagi Pas di Kelantan, kejayaan yang dikecapi adalah kerana mengamalkan dasar pentadbiran Islam berteraskan prinsip ubudiah iaitu keyakinan kepada Tuhan, mas'uliah(penuh tanggungjawab mengikut kehendak agama) dan itqan (melakukan yang terbaik) yang selari dengan kehendak syariat.

''Justeru, kita berjaya dengan rekod bersih, tiada amalan rasuah, berintegriti, bebas daripada riba dan subur dengan hasil anugerah tuhan. Malah berkat pentadbiran Islam, semua lapisan kaum hidup dengan aman, damai dan sejahtera berpandukan agama.

''Ia sebagai bukti betapa syariat Islam yang diperjuangkan Pas selama ini berjaya mendidik pentadbir, pemimpin dan rakyat untuk terus berpegang teguh kepada agama.

''Falsafah ini adalah selari dengan doa iftitah yang kita baca di permulaan sembahyang,'' katanya menerusi blognya, http://www.blogtokguru.com.

Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan Pas Kelantan tetap jujur dan ikhlas mendidik semua pemimpin dan rakyat untuk mengingati tanggungjawab beragama, bersembahyang dan beribadat, dosa dan pahala serta memikirkan soal hidup dan mati.

''Inilah natijah perjuangan Pas yang sentiasa mendidik rakyat ke arah kehidupan beragama, aman dan berharmoni.

''Justeru kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pas sudah berjaya meyakinkan masyarakat semua kaum, bahawa apa yang kita laksanakan di Kelantan adalah yang terbaik, malah lebih baik berbanding dengan apa yang dibuat oleh UMNO sebelum ini.

''Maka, Kelantan telah mendahului negeri-negeri lain dalam banyak aspek pembangunan berteraskan ajaran Islam. Terbaru sekali ialah penggunaan wang syariah dinar emas dan dirham dan pemberian beras percuma kepada keluarga miskin di bawah Skim al-It'aam,'' katanya.

Mengenai perjalanan Pilihan Raya Kecil Kerdau dan Merlimau pula, beliau mendakwa setiap kali Pas bertanding, prinsip yang diamalkan ialah berkempen dengan adil dan bersih, tiada ugut-. mengugut dan sogok-menyogok.

Dengan ini,adakah beliau betul2 telah berjaya mentadbir kelantan yg di katakannya itu? jika benar?mengapa di kelantan masih lagi mundur dalam segi ekonomi? sehingga ramai rakyat kelantan keluar mencari rezeki di negeri lain dalam malaysia?

Tentang mengikut prinsip ubudiah pula? mengapa di kelantan masih lagi mengalami masalah sosial seperti jenayah buang anak dan maksiat paling tinggi di malaysia?

Maka dengan ini,adakah nik ajis jujur dan bercakap benar kepada rakyat terutama penyokong setia PAS?
disini jelas menunjukkan yang beliau menipu dengan mengatakan PAS tidak mengamalkan rasuah dan sebagainya,

renungkanlah apa yang telah PAS dan PAKATAN telah berikan untuk kemajuan dan keamanan di kelantan dan negeri pemerintahannya?

sekian...

26 Februari 2011

tidak mudah menang di dun KERDAU

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya menyedari bukan mudah untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau walaupun menampilkan calon terbaik parti. 

Sambil mengharapkan Hassanuddin Salim, 43, yang berpendidikan tinggi dan mempunyai keluarga di kawasan DUN itu dapat memberi kemenangan kepada PAS, Abdul Hadi mengakui parti itu berdepan laluan sukar di Kerdau.


Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di pusat penamaan calon, Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh, di sini, hari ini, beliau berkata PAS tidak akan menggunakan kempen yang menyerang peribadi lawan dalam setiap ceramahnya sepanjang kempen berlangsung.

Kerusi DUN itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada Barisan Nasional (BN) pada 12 Feb lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Mac sebagai tarikh pengundian.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang yang sependapat dengan Abdul Hadi berkata pihaknya akan cuba sedaya upaya membantu calon PAS.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh pula percaya dengan pengalaman Hassanuddin yang pernah dua kali bertanding iaitu pada 2004 dan 2008, ia sudah tentu akan memberikan kelebihan kepada calon PAS itu.


"Tambahan lagi beliau ini anak tempatan dan mempunyai reputasi yang baik di sini serta dikenali. Jadi untuk itu saya lihat peluang kita juga agak baik.

"Cumanya kita perlu menggandakan usaha meraih sokongan pengundi di Felda. Ini kerana pada 2008, yang mengundi kita bilangannya kecil. Inilah cabaran kita dan kita akan berusaha untuk mendapatkan sokongan pengundi di Felda," katanya.

Beliau yang juga Pengarah pilihan raya PKR yakin parti itu turut mampu meraih sokongan generasi muda di DUN Kerdau.

Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS DUN Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula menjangkakan peluang 50-50 untuk parti itu menang dalam pilihan raya kecil Kerdau.

Dalam pada itu beliau berkata pihaknya akan memberi fokus lebih kepada kawasan Felda, kawasan kampung tradisi dan kawasan pinggiran bandar dalam usaha meraih undi
. 

Bertindak tegas terhadap Hindraf





KUBANG PASU 24 Feb. - Pemimpin pertubuhan haram, Hindraf perlu dikenakan tindakan tegas atas dua kesalahan iaitu memperjuangkan sebuah badan yang sudah diharamkan kerajaan dan merancang mengepalai perhimpunan tanpa permit.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin justeru menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemimpin pertubuhan itu.
Tegasnya, kerajaan memandang serius perkembangan pertubuhan itu yang sudah diharamkan tetapi masih wujud dan beroperasi.

"Seharusnya mereka yang mengepalai tindakan-tindakan haram mesti diambil tindakan tegas dan itu saya serahkan kepada pihak polis untuk bertindak," katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Matrikulasi Bersama Masyarakat Peringkat Kebangsaan di Kolej Matrikulasi Kedah, Changlun di sini hari ini.
Semalam, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mendesak polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap Hindraf yang berkemungkinan merancang menimbulkan huru-hara pada perhimpunan tanpa permit, Ahad ini.

Ibrahim berkata, polis perlu mengambil langkah pencegahan berhubung perhimpunan haram itu sebelum sesuatu yang buruk berlaku.
"Sebenarnya Hindraf sudah diharamkan dan sewajarnya jika perkataan itu sendiri masih nak diperjuangkan oleh mana-mana puak sekali pun, ia merupakan satu kesalahan," kata Muhyiddin.

Tambahnya, pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan sewajarnya jika ada pihak yang bertindak di luar batas undang-undang dan tidak mengikut peraturan.
"Saya serahkan kepada budi bicara pihak berkuasa keselamatan untuk mengambil tindakan-tindakan tegas," katanya.

Sementara itu, mengulas kekecohan yang berlaku di Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam, Timbalan Perdana Menteri menasihati pihak pentadbiran universiti dan pemimpin pelajar berbincang bagi menyelesaikan setiap masalah secara baik.
Beliau berkata, ia bagi mengelakkan perasaan kurang senang dan situasi tidak stabil di kampus universiti itu sekali gus mewujudkan hubungan yang harmoni antara kedua-dua pihak.

"Sebaik-baiknya kalau berlaku (masalah) di universiti, Bahagian Hal Ehwal Pelajar berbincang dengan pemimpin pelajar, selesaikan secara baik. Jangan timbulkan perasaan kurang senang dan tidak stabil di kampus.

"Saya seru kedua-dua pihak, harap ada perbincangan dibuat secara musyawarah untuk kebaikan penuntut dan universiti, maka hal itu (kekecohan) kita boleh elakkan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran mengulas insiden kira-kira 200 mahasiswa berdemonstrasi di hadapan pintu masuk utama Bangunan Pentadbiran UPM bagi memprotes kononnya tindakan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) membatalkan kemenangan 11 calon promahasiswa dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2010/2011.

Muhyiddin berkata, proses pemilihan pemimpin di kampus adalah perkara biasa untuk memberi ruang dan peluang penuntut memilih pemimpin yang boleh membantu mereka dalam urusan pengajian dan kebajikan.

"Jadi kalau itu (peraturan) dipatuhi, saya tak fikir harus tercetus apa-apa masalah macam yang kita lihat berlaku di UPM.

"Itu kita nak elakkan, ia tidak memberikan gambaran yang baik kalau ada peristiwa sebegitu," katanya.

20 Februari 2011

Tok Guru diminta rujuk Surah Abasa, tanya lima soalan


KUALA LUMPUR 19 Feb. - Bosan dengan permainan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggunakan Islam untuk bekerjasama dengan DAP, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin meminta Menteri Besar Kelantan itu supaya merujuk kembali satu pesanan Allah melalui Surah Abasa.

"Surah itu diturunkan ketika Nabi Muhammad SAW sedang berbincang dengan segelintir golongan kafir Quraish yang kaya dan berpengaruh. Apa yang terjadi ketika perbincangan itu, datang seorang Muslim papa kedana dan buta bernama Abdullah Ibnu Maktum.

"Abdullah datang ke tepi Rasulullah dan bertanyakan soalan tetapi Nabi (Muhammad) berpaling daripadanya untuk sambung berbincang dengan Abu Jahal serta rakan-rakan (kafir) kerana merasakan Abdullah mengganggu perbincangan itu.

"Ketika itulah Allah menurunkan Surah Abasa bagi mengingatkan Nabi supaya mendahulukan seorang Muslim berbanding penganut agama lain, saya nasihatkan tok guru (Nik Abdul Aziz) selak kembali surah itu," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Zulkifli yang juga bekas Yang Dipertua Pas Kawasan Bandar Tun Razak berkata demikian bagi mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang mengakui bekerjasama dengan DAP dalam pihak pembangkang adalah bagi memperkenalkan Islam kepada parti itu.

Dalam satu majlis di Kota Bharu kelmarin, Menteri Besar Kelantan itu antara lain mendakwa hasil kerjasama Pas dengan DAP setakat ini memperlihatkan DAP kini tidak lagi menyerang Islam seperti sebelumnya.

Zulkifli mencabar Nik Abdul Aziz supaya mengemukakan lima soalan terbuka untuk dijawab oleh para pemimpin DAP iaitu Penasihatnya, Lim Kit Siang; Pengerusi, Karpal Singh dan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng.
Soalan-soalan itu adalah:

1) Adakah Kit Siang, Karpal dan Guan Eng setuju dengan agenda penubuhan negara Islam yang dibawa Pas?

2) Adakah pihak pembangkang membenarkan Pas melaksanakan hukum syariah di negeri-negeri yang diterajui Pas?

3) Mengapa Pas berdiam diri ketika perjanjian 'Persefahaman pihak pembangkang pada 18 Disember 2009' walhal perjanjian itu tidak meletakkan agenda penubuhan negara Islam?

4) Apa pendirian Nik Aziz, Kit Siang, Karpal dan Guan Eng mengenai kenyataan Dr. Wan Azizah mengatakan Anwar sebagai 'anugerah Tuhan'?

5) Mengapakah pihak pembangkang membenarkan Karpal terus mewakili Anwar dalam kes liwat sedangkan pernah mengakui mempunyai bukti keterlibatan Anwar dalam aktiviti homoseksual?

Katanya, kesemua persoalan itu 'wajib' dijawab oleh Nik Abdul Aziz dalam membuktikan usaha Pas memperkenalkan Islam kepada DAP selama ini.

"Jika Nik Aziz berani wujudkan forum untuk berbincang dengan 'kepala-kepala' DAP itu, saya dengan sedaya-upaya akan cuba mendapatkan slot siaran langsung di stesen televisyen nasional," jelasnya.

19 Februari 2011

Nik Aziz dicabar kemuka bukti perkenalkan Islam kepada DAP

Kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengakui tujuan Pas bekerjasama dengan DAP adalah untuk memperkenalkan Islam kepada sekutu politiknya itu disifatkan sebagai amat meragukan.
Setiausaha Agung Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Tengku Amalluddin Sani Raja Ahmad Sufian berkata, ini kerana kerjasama Pas dengan DAP dilihat lebih berkepentingan politik daripada keutamaan 'memperkenalkan' Islam.

Lagipun katanya, DAP telah wujud sejak berpuluh tahun lalu di negara ini dan parti itu sepatutnya telah memahami Islam memandangkan ia merupakan agama rasmi di Malaysia.

Justeru, katanya, Nik Abdul Aziz dicabar supaya mengemukakan bukti serta pelan perancangan parti tersebut dalam memperkenalkan Islam kepada DAP seperti yang diakui Menteri Besar Kelantan itu.

"Jika benar seperti apa yang didakwa Nik Aziz, JMM tidak akan teragak-agak untuk menyokong dan menyertai Pas dalam wadah memperkenalkan Islam kepada DAP, saya mahu lihat pelan perancangan beliau (Nik Abdul Aziz) dahulu," katanya.

Beliau mengulas kenyataan yang dikeluarkan Nik Abdul Aziz mengenai perkara itu di Kota Bharu semalam.
Kenyataan menteri besar itu merupakan susulan daripada percakarannya dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kebelakangan ini, yang antaranya mempersoalkan tentang kewajaran Pas bekerjasama dengan DAP.

Menurut Nik Abdul Aziz, hasil kerjasama Pas dengan DAP setakat ini memperlihatkan DAP kini tidak lagi menyerang Islam seperti sebelumnya.

Tengku Amalluddin kemudiannya secara sinis menambah, Pas diminta supaya 'memperkenalkan' Islam kepada DAP secara penuh berhemah supaya agama itu terus dihormati.

"Jangan sampai (Pengerusi DAP) Karpal Singh cakap 'langkah mayat saya dahulu' jika mahu mendekatkan Islam kepada DAP,"


33 ahli Pas isytihar keluar parti


   ZAWAWI Othman (dua kanan) bersama bekas penyokong Pas   Cawangan Gong Kala 
  di Pasir Puteh, Kelantan yang mengisytiharkan keluar parti dan menyertai UMNO, semalam. 
PASIR PUTEH 18 Feb. - Kubu kuat Pas di Cawangan Gong Kala di sini goyah apabila 33 ahlinya, termasuk bekas pemimpin bertindak mengisytiharkan keluar parti dan menyertai UMNO.

Antara yang berbuat demikian ialah bekas Timbalan Ketua Pas Cawangan Gong Kala, Mohd. Zawawi Hanapi, 35, dan bekas Ketua Pas Cawangan Dalam Huma, Amran Mat Daud, 33, bersama pengikut serta ahli keluarga mereka.

Mohd. Zawawi berkata, tindakannya keluar Pas adalah ikhlas berikutan keprihatinan pucuk pimpinan UMNO dan pemimpin tempatan yang bersikap cakna terhadap kebajikan rakyat walaupun mereka bukan wakil rakyat.
Beliau berkata, pemimpin UMNO tempatan sentiasa prihatin terhadap permasalahan rakyat dan berusaha membela nasib mereka dengan menyediakan pelbagai prasarana diperlukan.

"Kelibat dan perkhidmatan mereka lebih terserlah kalau dibandingkan dengan wakil rakyat kerajaan negeri. Kami berikrar untuk membantu UMNO mencapai kemenangan dalam pilihan raya akan datang," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pada majlis pengisytiharan menyertai UMNO dan ramah mesra bersama Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman di kampung berkenaan di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keamanan Kampung, Yassin Awang Kecil.
Mohd. Zawawi mengakui, tindakan keluar Pas yang seolah-olah sebati dengan diri mereka selama ini, turut didorong oleh penerangan bekas ahli-ahli Pas yang telah menyertai UMNO.

Sementara itu, Amran berkata, kenyataan mengelirukan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung pelbagai isu sejak kebelakangan ini memberi kesedaran kepada mereka untuk berfikir secara lebih rasional mengenai perjuangan Pas.
Menurutnya, pemimpin Pas juga sentiasa membuat sangkaan buruk terhadap UMNO termasuk isu kafir-mengkafir dan memandang rendah sesama Islam.
"Sikap seperti inilah yang membuatkan kami sedar dan jemu dengan retorik politik Pas yang kami sanjung selama ini," katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi ketika ditemui berkata, pihaknya akan meningkatkan majlis penerangan dari rumah ke rumah dalam usaha menyedarkan ahli Pas mengenai perjuangan ikhlas UMNO membela agama, bangsa dan negara.

"Gelombang perubahan yang berlaku kebelakangan ini adalah petanda awal kemenangan akan memihak kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

10 Februari 2011

Nik Aziz dicabar debat dengan Karpal tentang negara Islam


Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mencabar Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya berdebat dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh mengenai penubuhan negara Islam sebelum berniat untuk berdebat dengan pihak lain. 

Timbalan Yang Dipertua Kebangsaan JMM, Omar Salleh berkata, Menteri Besar Kelantan itu seharusnya berdebat dengan Karpal Singh yang dianggap sebagai sekutu dalam pakatan pembangkang kerana mereka secara asasnya memperjuangkan hala politik yang sama.

"Nik Aziz dan Karpal Singh adalah ”kawan” dalam pakatan pembangkang... mereka harus sama-sama bersetuju dalam menubuhkan negara Islam...kalau sudah berdebat dengan Karpal (Singh) selepas itu Nik Aziz barulah boleh berdebat dengan yang lain,” katanya di sini, hari ini.

Akhbar tempatan melaporkan kesediaan Nik Abdul Aziz untuk berdebat dengan mana-mana pihak berkuasa termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung kenyataannya yang didakwa merosakkan akidah serta memecahbelahkan umat Islam di negara ini.

Pada Jumaat lepas, beliau dilaporkan berkata tiada masalah sekiranya Majlis Fatwa Kebangsaan mahu mengkaji semua kenyataannya yang didakwa merosakkan akidah serta memecahbelahkan perpaduan umat Islam, malah beliau juga bersedia berdialog dengan majlis itu bagi menjelaskan pendiriannya.

Dua hari kemudian, Nik Abdul Aziz dilaporkan meletakkan syarat supaya debat antara beliau dan Majlis Fatwa Kebangsaan atau pihak berkuasa perlu dilakukan secara terbuka bagi memastikan semua pihak dapat  menilai perjalanan debat dan tidak dimanipulasi.

Sebelum ini, Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan, Prof Madya Mohd Noor Deris meminta Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja mengkaji kenyataan Nik Aziz yang didakwa merosakkan akidah serta memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negara ini.

Omar berkata JMM juga meminta Nik Abdul Aziz mengeluarkan “fatwa karut” mengenai kes liwat penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini adalah sebab beliau (Nik Abdul Aziz) pasti akan menghalalkan benda haram demi politik,” dakwanya.
Omar berkata JMM turut mendesak Nik Abdul Aziz untuk memberi tunjuk sebab mengapa Mohd Noor dianggap sebagai seorang kafir ataupun beliau (Nik Abdul Aziz) memandang hina kepada semua kakitangan universiti.

Bernama hari ini turut melaporkan Nik Abdul Aziz 
menafikan yang beliau mahu berdebat dengan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung beberapa kenyataannya yang didakwa merosakkan akidah.

09 Februari 2011

Penagih wanita dan remaja bawah umur membimbangkan

KOTA BHARU 8 Feb. – Bilangan penagih dadah di kalangan wanita, remaja bawah umur dan kakitangan awam di negeri ini semakin membimbangkan apabila menunjukkan peningkatan yang ketara.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, lebih membimbangkan apabila ada di antara wanita terbabit ditahan bersama anggota keluarga yang turut positif dadah.

Justeru beliau meminta semua pihak terutama ibu bapa dan masyarakat, memainkan peranan bagi memastikan musuh nombor satu negara itu yang kian menular terutama pada golongan terbabit dapat dikekang.

“Pada Januari ini sahaja kita telah menahan lima wanita yang didapati menagih serta memiliki dadah, ada di antara mereka kita tahan bersama suami dan ipar di rumah yang sama kerana positif dadah jenis pil kuda.

“Kebanyakan wanita itu memberikan alasan tekanan rumah tangga dan terpengaruh dengan suami menyebabkan mereka turut sama mengambil dadah.
“Kesemua wanita yang ditahan ini berusia di antara 20 sehingga 45 tahun,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini  hari ini.

06 Februari 2011

Mohd. Noor hanya mahu debat dengan Nik Aziz

Pengerusi Biro Agama dan Ulama, Majlis Veteran UMNO Kelantan, Prof. Mohd. Noor Deris akan menghantar surat untuk mengadakan debat dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mohd Noor berkata, beliau gembira dengan reaksi positif Nik Aziz yang mahu mengadakan dialog dengan mana-mana pihak dan ia merupakan peluang kepada beliau untuk menghuraikan pandangannya kepada Menteri Besar Kelantan itu.
"Saya akan hantar surat dalam beberapa hari lagi untuk mengadakan debat dengan Nik Aziz. Saya mahukan debat itu diadakan hanya antara saya dan dia saja tiada pihak lain di tempat awam. Kini cabaran saya sudah disahut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Nik Aziz semalam bahawa beliau bersetuju untuk bersemuka serta berdialog dengan semua pihak termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan jika tidak berpuas hati terhadap kenyataannya dalam usaha menjernihkan isu berbangkit yang dianggap kontroversi.
Isu berkenaan berbangkit apabila Nik Aziz mengeluarkan kenyataan mengelirukan umat Islam ketika berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang baru-baru ini, dengan mengatakan mereka yang tidak menyokong PAS ialah jahiliah.

Berikutan tindakan Nik Aziz itu, Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran Umno Kelantan meminta Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja mengkaji kenyataan Nik Aziz itu yang didakwa merosakkan akidah serta memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negara ini. 

04 Februari 2011

bekas menteri besar johor meninggal dunia


1982 - 1986 : DATUK ABDUL AJIB BIN

Datuk Abdul Ajib bin Ahmad dilahirkan pada 13 september 1947 di Segamat, Johor. Memulakan persekolahan di Sekolah Bukit Hampar dan bekas penuntut Kolej Kuala Kangsar. Dato’ Ajib melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan mendapat Ijazah B.A. Hons dalam bidang Ekonomi (1971).

Beliau pernah berkhidmat di Kementeria Dalam Negeri dan Sektor Awam sebagai Pegawai Perhubungan Industri di sebuah Syarikat Minyak. Dalam arena politik beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Y.B. Dato’ Musa Hitam (1975-1982). Dalam tahun 1982, beliau kemudian dilantik menjadi Menteri Besar menggantikan Tan Sri Othman Bin Mohd Saat. Dalam Pilihanraya Umum 1986, beliau memenangi Kerusi Parlimen Mersing. Beliau telah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

03 Februari 2011

ambil tindakkan terhadap NIK AZIZ segera...

Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja diminta mengkaji kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang didakwa merosakkan akidah serta memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negara ini.
Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan, Prof. Madya Mohd. Noor Deris berkata, Nik Aziz telah mengeluarkan banyak kenyataan yang bercanggah dengan syarak seperti menyifatkan Tuhan sebagai samseng, pencarut dan sebagainya.

Beliau berkata, amat malang apabila Menteri Besar Kelantan itu yang dikenali sebagai ulama, tidak mempunyai ciri-ciri ulama sebenar, lebih-lebih lagi apabila mengeluarkan kenyataan sanggup berkawan dengan syaitan dan musuh Islam, tetapi bermusuhan sesama Islam.

Baginya, Nik Abdul Aziz juga memfitnah Malaysia bukan sebuah negara Islam, UMNO tidak mahu Islam, undi Pas masuk syurga, pangkah bulan tiga kali (mengundi Pas) pilihan raya sama dengan pahala haji, imam UMNO tidak sah diikuti dan sembelihan orang UMNO tidak boleh dimakan.
Terbaru katanya, Mursyidul Am Pas itu mengeluarkan kenyataan yang sungguh mengelirukan umat Islam apabila menyatakan mereka yang tidak menyokong Pas ialah orang jahiliah semasa kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, baru-baru ini.

"Kalau dibiarkan perkara ini dibimbangi ramai orang akan mati murtad atau keluar dari Islam," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat itu seterusnya mencabar Nik Abdul Aziz untuk berdebat secara terbuka mengenai kenyataannya itu.
Mohd. Noor turut menganggap Nik Abdul Aziz sebagai pemimpin yang bertopengkan Islam bagi mengejar kemenangan partinya dan menyahut seruan nafsu untuk menghimpun kekayaan termasuk dalam kalangan ahli keluarganya.

Malah dakwanya, selama ini Mursyidul Am Pas itu berpolitik atas dasar demokrasi ala-Barat tetapi diheboh-hebohkan kononnya berdasarkan al-Quran dan hadis.
"Sebenarnya, beliau berkubukan demokrasi untuk perjuangan Assabiyah partinya sebab itulah dalam sejarah pemerintahan Pas Kelantan, kuasa politiknya pernah disalahgunakan dan menyeleweng daripada syariat Islam atau sunah politik Rasulullah.

Jelas Mohd. Noor lagi, politik Islam berdasarkan kepada satu ummah, bukan berbilang jemaah, sedangkan Pas hari ini memporakperandakan ummah kepada beberapa jemaah atau parti dan akhir-akhir ini semakin sesat dan menyeleweng daripada dasar politik Islam.
Justeru itu, pihaknya akan memperhebatkan penerangan bagi menyedarkan umat Islam termasuk ahli Pas mengenai penyelewengan yang berlaku dalam parti itu.

Dalam pada itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Kadir Talib berkata, Nik Abdul Aziz tidak wajar menggelar dirinya sebagai pemimpin jika tidak berani berterus terang dalam soal menentukan seseorang itu masuk syurga jika mengundi Pas.

"Kalau dia (Nik Abdul Aziz) benar-benar berani, kenapa dia tidak katakan jika mengundi UMNO akan dimasukkan ke dalam neraka?
"Jelaslah status Nik Abdul Aziz sebagai ulama diragui kerana sanggup mempolitikkan soal syurga untuk meraih sokongan serta mengelirukan umat Islam," jelasnya

01 Februari 2011

penyelewengan dalam parti PAS perkara biasa yg di perjuangkan.

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad mendedahkan penyelewengan biasa berlaku di dalam parti itu kerana wujud segelintir pemimpin yang tidak amanah selain ketiadaan sistem pemantauan wang keluar masuk terutama membabitkan derma.
Sehubungan itu, beliau tidak hairan dengan penerbitan sebuah buku bertajuk: Mohd. Sabu Air Mata di Bumi Memali karangan Zainon Ismail atau nama penanya C.N Al-Afghani kerana perbuatan menyeleweng wang sememangnya berlaku di dalam parti berkenaan.

Ujarnya, selama beliau berada di dalam parti tersebut, itulah yang berlaku malah dalam satu peristiwa iaitu selepas berlakunya kejadian Memali pada November 1985, anak- anak Allahyarham Ibrahim Libya telah diusung ke mana-mana bagi tujuan mengutip derma.

‘‘Malangnya saya difahamkan wang itu tidak sampai kepada keluarga Ibrahim Libya tetapi telah disapu oleh pihak tertentu. Saya bercakap atas pengalaman saya di dalam Pas selama 12 tahun dan inilah kebenaran yang berlaku.
‘‘Oleh itu saya tidak hairan dengan pendedahan yang dibuat melalui buku ini. Saya yakin pendedahan ini adalah berdasarkan bukti dan asas yang kuat,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas forum pembaca hari ini yang menyiarkan tulisan Zainon sendiri apabila penulis buku Mohd. Sabu Air Mata di Bumi Memali itu mempersoalkan akhbar Harakah melalui kolumnisnya Zulkifli Yahaya, keluaran 29 November-2 Disember 2010.

Di dalam keluaran itu, Zulkifli mempertikaikan kononnya C.N Al-Afghani menggunakan akhbar musuh menghentam kawan dalam mengulas buku tersebut sedangkan kolumnis Harakah itu mengakui yang dia belum membaca buku itu sepenuhnya.

Buku tersebut mengundang kontroversi apabila penulisnya mendedahkan wujud penyelewengan dan penipuan berjuta ringgit milik berpuluh orang anak yatim, 14 balu dan 200 mangsa Memali oleh pihak Pas.

Akibatnya seperti ada arahan rasmi, buku tersebut dilarang daripada dijual ketika berlangsungnya Majlis Memperingati 25 Tahun Memali, November tahun lalu.
Mengulas lanjut, Nakhaie percaya penulis buku tersebut cuba mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku di dalam Pas dan bukannya sengaja mereka-reka cerita atau menimbulkan fitnah.

‘‘Apa yang cuba disampaikan oleh penulis ini ada kaitannya dengan kredibiliti Pas sebagai sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam. Beliau mahu memberitahu rakyat dengan ikhlas hati bahawa inilah rupanya Pas yang sebenar.

‘‘Sekiranya Pas menjadikan Islam sebagai pegangan sudah pasti tidak akan berlaku perkara-perkara sebegini. Ini tidak, penyelewengan tetap berlaku di dalam Pas,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau juga percaya pucuk pimpinan Pas akan marah kepadanya ekoran kenyataan tersebut kerana ia boleh mencalar imej parti itu di mata rakyat.
‘‘Saya bercakap atas kebenaran dan saya sedia kemukakan kebenaran itu sekiranya diminta. Realitinya, Pas tidak boleh menafikan wujudnya penyelewengan ekoran adanya segelintir pemimpin yang tidak amanah di dalam parti itu.

‘‘Ini ditambahkan lagi dengan ketiadaan sistem pengurusan yang bersistematik hingga menyebabkan penyelewengan berlaku dengan mudah,’’ katanya
Beliau juga tidak menolak kemungkinan pucuk pimpinan Pas akan berusaha menyembunyikan kebenaran itu tetapi mereka jangan lupa bahawa sesungguhnya Allah maha mengetahui dan maha melihat setiap perlakuan mereka.

‘‘Seperkara lagi saya ingin nasihatkan Pas, sekiranya tidak mampu memelihara nama baik Islam, gugurkan sahaja nama Islam pada nama Pas. Jangan gunakan nama Islam sekiranya mereka tidak mampu menjaganya dengan baik,’’ katanya lagi.

31 Januari 2011

Keputusan rasmi: BN menang di Tenang dengan majoriti 3,707

LABIS 30 Jan. – Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Johor apabila calonnya, Mohd Azahar Ibrahim mengalahkan calon Pas, Normala Sudirman dengan majoriti 3,707 undi.
Mohd Azahar memperoleh 6,699 undi, manakala Normala 2,992 undi.
Keputusan penuh:
N05: TENANG, JOHOR
Jumlah pengundi: 14,753
KEPUTUSAN:
Normala Sudirman (Pas) 2,992 undi
Mohd Azahar Ibrahim (BN) 6,699 undi
Jumlah mengundi 9,833 pengundi
Peratus mengundi 67 peratus
Undi rosak 142 undi
Majoriti 3,707 undi
Penyandang: Sulaiman Taha (BN)
Undi diperolehi: 6,367
Majoriti: 2,492 

30 Januari 2011

Kisah Nik Aziz dah sesat....

MURSYIDUL Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat menunjukkan pemikirannya yang semakin bercelaru. Tok Guru itu tidak habis-habis memalukan Pas.
Terbaru beliau mempertahankan kenyataan mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew agar umat Islam di republik itu tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran dan nilai Islam.

Aneh, seorang pemimpin Pas yang mahu menegakkan negara Islam boleh berkompromi dengan kenyataan Kuan Yew. Mujurlah sebahagian pemimpin Pas tidak senada dengan beliau. Antaranya Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan yang membidas Kuan Yew. Beliau ada keberanian menyanggah pengasas Singapura itu dengan hujah-hujah ilmiah mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Islam.

Namun sikap Nik Aziz tidak mengejutkan. Jika beliau boleh tunduk dengan DAP maka tiada sebab untuk tunduk dengan Kuan Yew yang merupakan pengasas PAP, parti yang memerintah Singapura sehingga kini. Ini kerana PAP dan DAP ada jalinan strategik. Sebab itu, Nik Aziz tidak berani untuk bersuara mempersoalkan Pengerusi DAP Karpal Singh yang terus menolak penubuhan negara Islam. 

Pertama kali dalam sejarah ada pemimpin utama Pas yang menjadi alat DAP. Awang dapat tahu, ramai ahli Pas yang kecewa dengan kenyataan Nik Aziz lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya kecil Tenang. Malah ada yang menyatakan beliau sudah tidak lagi relevan selain menjadi liabiliti kepada Pas. Awang juga berpendapat begitu. Anak Nik Aziz, Nik Abduh jauh lebih bijak dan wajar diberi peranan untuk meneruskan legasi bapanya suatu hari nanti.

Beberapa hari lalu pula, Nik Aziz mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa mereka yang tidak mengundi Pas sebagai golongan jahiliah. Awang sudah tidak larat geleng kepala apabila bercakap tentang kecelaruan Nik Aziz. 

Menteri Besar Kelantan itu nampaknya riak dan semakin banyak menyalahgunakan Islam untuk kepentingan politik. Dua tokoh agama dari Kelantan iaitu bekas Ahli Jawatankuasa Ulama Pas, Mohd. Noor Idris dan Pengagas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa’amah turut menyelar kenyataan Nik Aziz. Awang harap Nik Aziz tidaklah meletakkan imejnya seperti pengamal ajaran sesat Ayah Pin yang sedang diburu oleh pihak berkuasa.

Jika dibuat perbandingan siri-siri kenyataan Nik Aziz sejak bertahun-tahun lalu dan Ayah Pin, rasanya Tok Guru itu lebih banyak mengelirukan umat Islam. Tetapi apakan daya, ketaksuban oleh sebahagian ahli dan penyokong Pas, menenggelamkan rasional. Sedihnya, di antara Islam sejati dan fahaman Nik Aziz, ramai juga yang sanggup memilih untuk akur dengan Tok Guru yang celaru.

28 Januari 2011

Hudud Pas (Sunni) berbanding hudud Allah

AGAMA Islam Pas menjadi semakin popular dalam masyarakat Melayu. Hukum Hududnya diyakini sebagai hukum agama yang suci. Ulamanya pula ditaati seperti Allah dan rasul-Nya.
Kekalutan ini lahir daripada input yang mengelirukan mengenai tugas rasul Allah yang sebenar. Para ulama tidak menjelaskan seperti yang dijelaskan Allah iaitu tugas rasul hanyalah untuk menyampaikan al-Quran kepada umat. Firman Allah 5:92 yang berbunyi “Ketahuilah bahawa atas rasul Kami hanyalah untuk menyampaikan yang jelas (al-Quran)" tidak disampaikan kepada orang Melayu.
Mereka terus membisu dengannya walaupun Allah menyebut mesej itu sekali lagi dalam ayat al-Quran 24:54. Lantas, Islam ajaran ulama bukanlah Islam yang disampaikan oleh rasul.
Rasul mengikuti satu syariat yang termaktub dalam Perintah daripada Allah - “Kemudian Kami membuat kamu di atas satu syariat daripada Perintah; maka ikutlah ia” (45:18) - dan dalam Perintah itu juga dinyatakan bahawa hanya Allah sahaja yang berhak mensyariatkan atau menetapkan hukum untuk agama-Nya. Tiada yang lain, selain daripada Dia, diizinkan berbuat demikian. Mereka yang ingkar dan yang memandai-mandai menggubal sendiri hukum agama dikategorikan-Nya pula sebagai sekutu Allah (42:21), dan dosa ini tidak diampun.
Namun manusia, kerana kefasiqan mereka, terus menggubal peraturan atau hukum agama. Lalu lahirlah pelbagai peraturan dan hukum yang berlainan daripada apa yang diwahyukan. Hukum Hudud adalah satu daripadanya.
Perkataan hudud bermakna had atau batas, dan juga ordinan. Ia sering disebut dengan kata hudud Allah di dalam al-Quran dan kata ini bersangkutan dengan peraturan atau hukum. Maka hudud Allah boleh dimaksudkan sebagai had bagi sesuatu hukuman, atau hukuman yang maksima, bagi sesuatu kesalahan yang ditetapkan Allah.
Perkataan ini disebut sebanyak 14 kali di dalam 9 buah ayat al-Quran. Satu daripada ayatnya berbunyi, 
“Itulah hudud (had-had) Allah; janganlah mencabulinya. Sesiapa mencabuli had-had Allah, mereka itulah orang-orang yang zalim” (2:229).
Oleh yang demikian hukuman daripada Allah, atau hukuman dalam Islam yang sebenar, adalah bersifat tidak zalim. Walaupun terdapat hukuman bunuh (qisas) dalam agama Allah, namun Dia memperingatkan agar dipertimbangkan nyawa pesalah supaya dapat diselamatkan. Firman-Nya, 
“Dalam qisas ada kehidupan untuk kamu, wahai orang-orang yang mempunyai minda, supaya kamu bertakwa” (2:179).
Tidak pula dengan Hukum Hudud Pas. Padanya bau zalim begitu ketara. Beberapa contoh akan dikemukakan di sini, dipetik daripada “Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 – Kerajaan Negeri Kelantan”, hasil karya ulama Pas yang disucikan oleh ramai orang Melayu.
Contoh pertama ialah hukuman untuk mencuri: 
“Sesiapa yang melakukan sariqah (mencuri), melainkan dalam keadaan yang dinyatakan dalam seksyen 7, hendaklah dihukum dengan hukuman hudud seperti berikut:
(a) bagi kesalahan pertama dengan dipotongkan tangan kanannya;
(b) bagi kesalahan yang kedua dengan dipotongkan kaki kirinya; dan
(c) bagi kesalahan-kesalahan yang ketiga dan berikutnya dengan dipenjarakan selama tempoh yang difikirkan patut oleh Mahkamah untuk menjadikan pesalah itu sedar dan sesal.” (Bahagian I, perenggan 6)
Hukuman ini mengatasi hudud Allah yang hanya menyuruh potong tangan. Itulah had hukuman yang ditetapkan Allah bagi pencuri. Firman-Nya, 
“Dan pencuri lelaki dan pencuri perempuan, potonglah tangan keduanya sebagai satu balasan ke atas apa yang mereka mengusahakan, dan hukuman contoh daripada Allah; Allah Perkasa, Bijaksana” (5:38).
Itulah juga hukuman maksima yang dijatuhkan oleh rasul ke atas pencuri kerana dia menuruti perintah Tuhan berbunyi,
“Dan Kami menurunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar, yang mengesahkan Kitab sebelumnya, dan mengawalnya. Maka hakimkanlah antara mereka menurut apa yang Allah menurunkan, dan janganlah mengikuti keinginan mereka untuk mengabaikan yang benar yang datang kepada kamu” (5:48).
Contoh kedua ialah hukuman bagi kesalahan merompak: 
“Sesiapa melakukan hirabah (merompak) hendaklah dihukum dengan hukuman hudud seperti berikut:
(a) dihukum bunuh dan selepas itu disalibkan, jika mangsa kesalahan itu dibunuh dan hartanya atau harta orang lain diambil;
(b) dihukum bunuh sahaja, jika mangsa kesalahan itu dibunuh dengan tidak ada apa-apa harta yang telah diambil;
(c) dihukum potong tangan kanan dan kaki kirinya, jika harta sahaja yang diambil dengan tidak menyebabkan kematian mangsa atau mencederakannya; tetapi sekiranya harta-harta diambil dan kecederaan dilakukan ke atas mangsanya, maka diyat atau irsy hendaklah dibayar sebagai tambahan kepada hukuman potong tangan dan kaki .....” (Bahagian I, perenggan 9).
Yang paling sumbang dalam hukum hudud Pas ini ialah perbuatan menyalib dan memotong tangan dan kaki pesalah. Dalam al-Quran tindakan menyalib dan memotong tangan dan kaki hanya diharuskan semasa dalam peperangan, iaitu ke atas musuh Islam yang memerangi. Firman-Nya, 
“Sesungguhnya balasan ke atas orang-orang yang memerangi Allah dan rasul-Nya, dan yang berusaha di bumi untuk membuat kerosakan - mereka dibunuh, atau disalib, atau tangan-tangan mereka dan kaki-kaki mereka dipotong berselang-seli, atau mereka dibuang daripada bumi. Itulah suatu kerendahan bagi mereka di dunia; dan di akhirat, bagi mereka azab yang besar” (5:33).
Al-Quran ada juga menyebut mengenai hukuman memotong tangan serta kaki dan kemudian disalib di pohon palma yang dilakukan bukan dalam peperangan. Akan tetapi, hukuman ini adalah amalan Firaun, seorang musuh Islam yang zalim pada zaman Nabi Musa (7:124, 20:71 dan 26:49).
Sementara hukuman salib tanpa memotong mana-mana bahagian anggota disebut sebagai hukuman orang kafir zaman Nabi Isa (4:157) dan raja semasa zaman Nabi Yusuf (12:41).
Mengenai hukuman bunuh pula, yang diharuskan Allah, ia tidak sahaja terhad ketika dalam peperangan (2:191) tetapi juga dalam kes pembunuhan biasa. Namun kuasa diberi kepada saudara si mati untuk melaksanakan hukuman tersebut. Firman-Nya, 
“Wahai orang-orang yang percaya, ditetapkan bagi kamu ialah pembalasan (qisas), mengenai orang yang dibunuh ….. tetapi, jika sesuatu dimaafkan kepadanya oleh saudaranya, maka hendaklah mengikutinya dengan baik, dan hendaklah bayarannya dibuat dengan baik. Itu adalah satu keringanan bagi kamu daripada Tuhan kamu, dan satu pengasihan; dan sesiapa mencabuli sesudah itu, baginya azab yang pedih” (2:178).
Contoh ketiga ialah hukuman bagi penzina:
“(1) Jika pesalah yang melakukan zina itu mohsan, maka pesalah itu hendaklah dihukum dengan hukuman rejam, iaitu dilontar dengan batu yang sederhana besarnya sehingga mati.
(2) Jika pesalah yang melakukan zina itu ghairu mohsan, maka pesalah itu hendaklah dihukum dengan hukuman sebat sebanyak seratus kali sebatan dan sebagai tambahan hendaklah dipenjara selama satu tahun.” (Bahagian I, perenggan 11)
Hukuman ini jauh melebihi had yang ditetapkan Allah yang berbunyi “Perempuan yang berzina, dan lelaki yang berzina, sebatlah tiap-tiap seorang daripada mereka dengan seratus sebatan,” (24:2). Itu sahaja.
Menurut al-Quran, hukuman merejam batu adalah amalan orang kafir zaman dahulu kala seperti zaman Nabi Nuh, Ibrahim, Shuib dan zaman beberapa orang pemuda yang mencari perlindungan di dalam gua atau al-kahfi. Nabi Musa juga takut direjam oleh Firaun.
Menurut catatan sejarah pula, hukuman merejam batu hingga mati kepada pesalah dalam hal agama telah dimulakan oleh seorang ulama Yahudi bernama Uzair (9.30) yang hidup kira-kira 2,000 tahun sebelum al-Quran diturunkan. Apapun, hukuman ini adalah hukuman jahiliah, dan Tuhan telah bertanya, 
“Adakah putusan jahiliah yang mereka menginginkan? Dan siapakah yang lebih baik putusannya daripada Allah bagi kaum yang yakin?” (5:50).
Contoh keempat ialah hukuman bagi kesalahan liwat: 
“Sesiapa melakukan kesalahan liwat, hendaklah dihukum dengan hukuman yang sama seperti yang ditetapkan bagi zina.” (Bahagian I, perenggan 17)
Penggubal hukuman ini jelas tidak menyedari mengenai kewujudan hudud Allah bagi perempuan dan lelaki yang sedemikian rupa nafsu seksnya. Diturunkan di bawah ini dua ayat al-Quran yang berkaitan:
1. “Dan perempuan-perempuan kamu yang melakukan kesumbangan, panggillah empat antara kamu untuk menyaksikan terhadap mereka; dan jika mereka menyaksikan, tahanlah mereka di dalam rumah-rumah mereka sehingga kematian mematikan mereka, atau Allah mengadakan bagi mereka satu jalan” (4:15).
2.  “Dan apabila dua orang antara kamu (lelaki) melakukannya (kesumbangan), maka hukumlah keduanya; tetapi jika mereka bertaubat, dan membetulkan, maka berpalinglah daripada keduanya; Sesungguhnya Allah adalah Yang Menerima Taubat, Pengasih” (4:16).
Contoh kelima ialah kesalahan meminum arak: 
“(1) Syurb adalah kesalahan meminum arak atau sebarang minuman yang memabukkan; dan sesiapa yang melakukan kesalahan ini, sama ada dia mabuk atau tidak, dan tanpa mengira kuantiti yang diminumnya hendaklah dikenakan hukuman sebat yang tidak lebih daripada lapan puluh kali sebatan dan tidak kurang daripada empat puluh kali sebatan.” (Bahagian I, perenggan 22)
Firman-Nya: “Sesungguhnya Kami menurunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar supaya kamu menghakimkan antara manusia dengan apa yang Allah memperlihatkan kepada kamu” (4:105).
Oleh kerana hukuman bagi peminum arak tidak dijelaskan di dalam al-Quran, maka rasul tidak menjatuhkan sebarang hukuman mengenainya. Sebaliknya pula dia menyampaikan ayat-ayat Tuhan yang menyatakan amalan itu adalah dosa besar (2:219), kotor, amalan syaitan dan minta dijauhkan (5:90), di samping menyebabkan permusuhan dan kebencian antara manusia, dan minta berhenti daripada meminumnya (5:91). Dengan nasihat ini orang yang takut kepada Tuhan tentu berhenti daripada minum arak.
Contoh keenam dan terakhir ialah hukuman bagi kesalahan murtad:
“(3) Sesiapa yang disabitkan melakukan kesalahan irtidad (murtad), hendaklah sebelum dijatuhkan hukuman ke atasnya dikehendaki oleh Mahkamah supaya bertaubat dalam tempoh yang tidak kurang daripada tiga hari setelah dia didapati salah.
(4) Sekiranya dia enggan bertaubat dan masih lagi berterusan dengan pendiriannya terhadap perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan itu, maka Mahkamah hendaklah mengisytiharkan hukuman bunuh ke atasnya dan memerintahkan supaya hartanya sama ada diperolehi sebelum atau selepas dia melakukan kesalahan itu dirampas untuk dipegang bagi keperluan Baitul-Mal:” (Bahagian I, perenggan 23)
Ini merupakan satu lagi hukuman yang dipelajari daripada ulama jahiliah bernama Uzair yang Allah gelar “anak Tuhan” (9:30) kerana memandai-mandai membuat hukum agama. Allah sendiri akan menghukum orang murtad seperti yang tersurat di dalam firman-Nya yang bermaksud, 
“Wahai orang-orang yang percaya, sesiapa antara kamu yang berpaling (murtad) daripada agamanya, maka Allah akan mendatangkan satu kaum yang Dia mencintai, dan mereka mencintai-Nya; rendah diri terhadap orang-orang mukmin, keras terhadap orang-orang yang tidak percaya; mereka berjuang di jalan Allah, dan tidak takut akan celaan mana-mana pencela. Itulah pemberian Allah; Dia memberinya kepada siapa yang Dia mengkehendaki; dan Allah Merangkumi, Mengetahui” (5:54).
Seperti itu juga akan terjadi kepada orang Melayu jikalau mereka tidak kembali kepada ajaran Islam sebenar yang terkandung di dalam al-Quran. “Apa, adakah aku akan mencari sebarang hakim selain Allah? Dan Dia yang menurunkan kepada kamu Kitab yang cukup jelas; ….. maka janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu” (6:114).