26 Februari 2011

tidak mudah menang di dun KERDAU

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya menyedari bukan mudah untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau walaupun menampilkan calon terbaik parti. 

Sambil mengharapkan Hassanuddin Salim, 43, yang berpendidikan tinggi dan mempunyai keluarga di kawasan DUN itu dapat memberi kemenangan kepada PAS, Abdul Hadi mengakui parti itu berdepan laluan sukar di Kerdau.


Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di pusat penamaan calon, Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh, di sini, hari ini, beliau berkata PAS tidak akan menggunakan kempen yang menyerang peribadi lawan dalam setiap ceramahnya sepanjang kempen berlangsung.

Kerusi DUN itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada Barisan Nasional (BN) pada 12 Feb lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Mac sebagai tarikh pengundian.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang yang sependapat dengan Abdul Hadi berkata pihaknya akan cuba sedaya upaya membantu calon PAS.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh pula percaya dengan pengalaman Hassanuddin yang pernah dua kali bertanding iaitu pada 2004 dan 2008, ia sudah tentu akan memberikan kelebihan kepada calon PAS itu.


"Tambahan lagi beliau ini anak tempatan dan mempunyai reputasi yang baik di sini serta dikenali. Jadi untuk itu saya lihat peluang kita juga agak baik.

"Cumanya kita perlu menggandakan usaha meraih sokongan pengundi di Felda. Ini kerana pada 2008, yang mengundi kita bilangannya kecil. Inilah cabaran kita dan kita akan berusaha untuk mendapatkan sokongan pengundi di Felda," katanya.

Beliau yang juga Pengarah pilihan raya PKR yakin parti itu turut mampu meraih sokongan generasi muda di DUN Kerdau.

Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS DUN Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula menjangkakan peluang 50-50 untuk parti itu menang dalam pilihan raya kecil Kerdau.

Dalam pada itu beliau berkata pihaknya akan memberi fokus lebih kepada kawasan Felda, kawasan kampung tradisi dan kawasan pinggiran bandar dalam usaha meraih undi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan