19 Februari 2011

33 ahli Pas isytihar keluar parti


   ZAWAWI Othman (dua kanan) bersama bekas penyokong Pas   Cawangan Gong Kala 
  di Pasir Puteh, Kelantan yang mengisytiharkan keluar parti dan menyertai UMNO, semalam. 
PASIR PUTEH 18 Feb. - Kubu kuat Pas di Cawangan Gong Kala di sini goyah apabila 33 ahlinya, termasuk bekas pemimpin bertindak mengisytiharkan keluar parti dan menyertai UMNO.

Antara yang berbuat demikian ialah bekas Timbalan Ketua Pas Cawangan Gong Kala, Mohd. Zawawi Hanapi, 35, dan bekas Ketua Pas Cawangan Dalam Huma, Amran Mat Daud, 33, bersama pengikut serta ahli keluarga mereka.

Mohd. Zawawi berkata, tindakannya keluar Pas adalah ikhlas berikutan keprihatinan pucuk pimpinan UMNO dan pemimpin tempatan yang bersikap cakna terhadap kebajikan rakyat walaupun mereka bukan wakil rakyat.
Beliau berkata, pemimpin UMNO tempatan sentiasa prihatin terhadap permasalahan rakyat dan berusaha membela nasib mereka dengan menyediakan pelbagai prasarana diperlukan.

"Kelibat dan perkhidmatan mereka lebih terserlah kalau dibandingkan dengan wakil rakyat kerajaan negeri. Kami berikrar untuk membantu UMNO mencapai kemenangan dalam pilihan raya akan datang," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pada majlis pengisytiharan menyertai UMNO dan ramah mesra bersama Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman di kampung berkenaan di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keamanan Kampung, Yassin Awang Kecil.
Mohd. Zawawi mengakui, tindakan keluar Pas yang seolah-olah sebati dengan diri mereka selama ini, turut didorong oleh penerangan bekas ahli-ahli Pas yang telah menyertai UMNO.

Sementara itu, Amran berkata, kenyataan mengelirukan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung pelbagai isu sejak kebelakangan ini memberi kesedaran kepada mereka untuk berfikir secara lebih rasional mengenai perjuangan Pas.
Menurutnya, pemimpin Pas juga sentiasa membuat sangkaan buruk terhadap UMNO termasuk isu kafir-mengkafir dan memandang rendah sesama Islam.
"Sikap seperti inilah yang membuatkan kami sedar dan jemu dengan retorik politik Pas yang kami sanjung selama ini," katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi ketika ditemui berkata, pihaknya akan meningkatkan majlis penerangan dari rumah ke rumah dalam usaha menyedarkan ahli Pas mengenai perjuangan ikhlas UMNO membela agama, bangsa dan negara.

"Gelombang perubahan yang berlaku kebelakangan ini adalah petanda awal kemenangan akan memihak kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan