26 Februari 2011

Bertindak tegas terhadap Hindraf





KUBANG PASU 24 Feb. - Pemimpin pertubuhan haram, Hindraf perlu dikenakan tindakan tegas atas dua kesalahan iaitu memperjuangkan sebuah badan yang sudah diharamkan kerajaan dan merancang mengepalai perhimpunan tanpa permit.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin justeru menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemimpin pertubuhan itu.
Tegasnya, kerajaan memandang serius perkembangan pertubuhan itu yang sudah diharamkan tetapi masih wujud dan beroperasi.

"Seharusnya mereka yang mengepalai tindakan-tindakan haram mesti diambil tindakan tegas dan itu saya serahkan kepada pihak polis untuk bertindak," katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Matrikulasi Bersama Masyarakat Peringkat Kebangsaan di Kolej Matrikulasi Kedah, Changlun di sini hari ini.
Semalam, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mendesak polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap Hindraf yang berkemungkinan merancang menimbulkan huru-hara pada perhimpunan tanpa permit, Ahad ini.

Ibrahim berkata, polis perlu mengambil langkah pencegahan berhubung perhimpunan haram itu sebelum sesuatu yang buruk berlaku.
"Sebenarnya Hindraf sudah diharamkan dan sewajarnya jika perkataan itu sendiri masih nak diperjuangkan oleh mana-mana puak sekali pun, ia merupakan satu kesalahan," kata Muhyiddin.

Tambahnya, pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan sewajarnya jika ada pihak yang bertindak di luar batas undang-undang dan tidak mengikut peraturan.
"Saya serahkan kepada budi bicara pihak berkuasa keselamatan untuk mengambil tindakan-tindakan tegas," katanya.

Sementara itu, mengulas kekecohan yang berlaku di Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam, Timbalan Perdana Menteri menasihati pihak pentadbiran universiti dan pemimpin pelajar berbincang bagi menyelesaikan setiap masalah secara baik.
Beliau berkata, ia bagi mengelakkan perasaan kurang senang dan situasi tidak stabil di kampus universiti itu sekali gus mewujudkan hubungan yang harmoni antara kedua-dua pihak.

"Sebaik-baiknya kalau berlaku (masalah) di universiti, Bahagian Hal Ehwal Pelajar berbincang dengan pemimpin pelajar, selesaikan secara baik. Jangan timbulkan perasaan kurang senang dan tidak stabil di kampus.

"Saya seru kedua-dua pihak, harap ada perbincangan dibuat secara musyawarah untuk kebaikan penuntut dan universiti, maka hal itu (kekecohan) kita boleh elakkan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran mengulas insiden kira-kira 200 mahasiswa berdemonstrasi di hadapan pintu masuk utama Bangunan Pentadbiran UPM bagi memprotes kononnya tindakan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) membatalkan kemenangan 11 calon promahasiswa dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2010/2011.

Muhyiddin berkata, proses pemilihan pemimpin di kampus adalah perkara biasa untuk memberi ruang dan peluang penuntut memilih pemimpin yang boleh membantu mereka dalam urusan pengajian dan kebajikan.

"Jadi kalau itu (peraturan) dipatuhi, saya tak fikir harus tercetus apa-apa masalah macam yang kita lihat berlaku di UPM.

"Itu kita nak elakkan, ia tidak memberikan gambaran yang baik kalau ada peristiwa sebegitu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan