Petanda awal Pas bakal kehilangan pengaruh di Kedah kini bukan lagi satu spekulasi atau andaian politik. Ia bagaikan tertulis pada setiap tembok di negeri jelapang padi itu. Maknanya dalam apa juga keadaan pun peluang Pas bangkit semula di Kedah sangat tipis.

Selepas pemergian Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, Pas Kedah mengalami kelemasan dalam bendang politik negeri sebelum diselamatkan dengan kemunculan Ustaz Azizan Abd Razak sebagai pemimpin mereka.
Pulihnya Pas di era Azizan menyaksikan jawatan MB negeri tersebut julung kalinya diisi pemimpin mereka.
Ketika itu Pas tidak memerlukan sokongan masyarakat Cina di Kedah seperti di Selangor atau di Perak untuk menguasai politik negeri berkenaan.

Namun, dengan ketiadaan pengganti yang ketokohannya boleh menyamai kedua-dua tokoh pemimpin Pas berkenaan, kekuatan parti itu di Kedah mula mengalami zaman kemerosotan dan berkemungkinan besar tidak mampu mengulangi sejarah singkat mereka selepas PRU12.Ketandusan tokoh di peringkat negeri seperti sebuah lubang besar terdedah pada pelbagai kekurangan.Keadaan ini mulai disedari Pas negeri setelah sekian lama ia dipimpin Allahyarham Azizan. Hakikatnya ialah Pas terpaksa menerima realiti Kedah tidak akan menjadi milik mereka macam Kelantan untuk satu waktu yang panjang.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau pada 4 November lalu tidak menjanjikan laluan mudah dalam usaha menawan semula Kedah setelah parti itu gagal kekal kuasa pada PRU13.Kini mereka berpuas hati keputusan Dun Sungai Limau memihak calonnya Mohd Azam Abd Samat yang mengalahkan  Ahmad Sohaimi Lazim dengan majoriti 1,084. Dari segi peratus majoriti, Pas gagal menambahnya berbanding majoriti diperoleh Azizan iaitu 2,774 undi.

Menjelang Muktamar Agung Pas akhir bulan ini, keputusan PRK Sungai Limau bakal mewarnai pemilihan parti melibatkan pertandingan bagi beberapa jawatan penting seperti jawatan timbalan presiden.Pas kini dalam dilema, sama ada memilih mengekalkan Mat Sabu atau memilih tokoh ulama yang dapat mengimbangi kumpulan yang dipimpin Anwar Ibrahim.

Bukanlah rahsia wujud dua puak dalam parti itu, satu menyokong Hadi manakala satu lagi lebih mirip pada Anwar. Jika berlaku pertandingan bagi jawatan nombor satu melibatkan Hadi dan Anwar ada yang melihat peluang Anwar jauh lebih cerah.Sejak Pas mencatat prestasi buruk dalam PRU13 lalu perwakilan parti di peringkat akar umbi mulai rimas dengan langkah berbaik-baik dengan DAP serta menjadikan Anwar sebagai ketua mereka.

Cadangan agar dikaji semula kedudukan Pas dalam kerangka ini sudah pun dimulai dengan peratus yang menyokong membimbangkan pucuk pimpinan. Soalnya sanggupkah Pas kehilangan regunya iaitu DAP ataupun Anwar? Mungkin hal ini bakal dijawab dalam muktamar itu nanti.Sebelum itu kita dapati kedudukan Hadi Awang sebagai presiden Pas juga mulai diperkatakan. Kebanyakan tulisan menyentuh calon yang bakal menggalas tugas sebagai pengganti Hadi jika pemimpin berasal dari Terengganu itu menjadikan penggal ini terma terakhir sebagai pemimpin utama parti.

Umno dilihat berjaya menyelesaikan isu pengganti apabila Dr Mahathir memilih Pak Lah dan kini Najib pula sebagai pemimpin utama parti.Gerakan dan MIC serta beberapa parti lain juga menyelesaikannya melalui proses rundingan dan juga pemilihan.

Namun bagi Pas walaupun tidak ada tanda jelas Hadi nak bersara setahun dua ini, isu seperti ini jika berlaku secara mendadak ia bukan suatu yang mengejutkan.

Pas memerlukan tokoh jauh lebih muda dan karismatik untuk mendepani Umno dalam PRU14 dan juga mengimbangi pengaruh.Anwar dalam parti berkenaan. Jika hal ini tidak ditangani segera, Pas akan terus jadi ulam buat rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Sementara kita menunggu episod selanjutnya drama Pas, apa yang pasti keputusan PRK Sungai Limau mengukuhkan lagi imej Mukhriz sebagai pemimpin masa depan negeri dan negara. Walaupun Mukhriz gagal mencipta sejarah sebagai naib presiden mewakili Kedah seperti bapanya, ia berjaya menanam bibit kebimbangan di pihak Pas.

Justeru, PRK Dun Sungai Limau bukan sekadar pilihan raya kecil biasa, tetapi ia berserta dengan implikasi lebih jauh dari who’s who atau siapa-siapa yang menang kerana yang menang tidak semestinya menang semuanya dan yang kalah tidak semesti kalah semuanya.