28 Oktober 2010

Kerajaan PAS Kelantan patut selesaikan isu tanah Orang Asli


GUA MUSANG: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan PAS Kelantan tidak memperjuangkan masyarakat Orang Asli yang menghadapi masalah hak milik serta pencerobohan tanah di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, di sini.

Timbalan Perdana Menteri berkata masalah tanah termasuk yang berhubung kait dengan pampasan dan pencerobohan sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan negeri.

"Baik isu pengambilan tanah tidak dibayar pampasan, yang ada hubung kaitdengan (projek) Ladang Rakyat (yang dimajukan oleh kerajaan Kelantan), (dan)
pencerobohan oleh pihak-pihak pengusaha (kebun) yang semakin berleluasa
sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan PAS kerana ia di bawah bidang kuasa
mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Mesra Minda Bersama
Masyarakat Orang Asli di Pos Brooke dekat sini.

Muhyiddin berkata masalah tanah Orang Asli itu akan menjadi antara tugas
utama calon Barisan Nasional (BN) Abdul Aziz Yusoff sekiranya menang pada pilihan raya kecil bagi kerusi Galas pada 4 Nov ini.

"Saya percaya kalau calon BN dipilih menjadi wakil rakyat di sini (Galas) dia akan sampaikan perkara itu (kepada kerajaan negeri)," katanya.

Malah, Muhyiddin berkata, pencerobohan tanah berkenaan turut mengakibatkan pencemaran sungai yang bertukar warna menjadi merah sedangkan sungai merupakan sumber penting bagi kehidupan masyarakat Orang Asli.

"Sepatutnya langkah-langkah menangani masalah pencerobohan (tanah) harus
ditangani di peringkat kerajaan negeri, jadi nampaknya perkara ini tidak
diberikan perhatian," katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan PAS Kelantan sebaliknya lebih berminat untuk
membicarakan isu-isu yang bertujuan mengalih pandangan rakyat daripada
membangkitkan perkara yang seharusnya menjadi keutamaan.

Semasa berucap pada majlis sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri berkata
Kerajaan Pusat memperuntukkan RM10.8 juta bagi kebajikan masyarakat Orang Asli
di Gua Musang.

Peruntukan melalui Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) itu termasuk
pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan kos RM7.2 juta di Galas.

Beliau berkata, sebanyak 250 unit rumah Orang Asli turut dikenal pasti bagi dibaik pulih kerana mengalami masalah seperti kerosakan bumbung dan lantai.

Katanya 30 generator dan 75 unit alat tenaga solar akan dibekalkan di
kawasan penempatan Orang Asli selain bantuan 100,000 benih pokok getah untuk
meningkatkan pendapatan mereka.

"Ini bukan soal (kempen) pilihan raya, ini tanggungjawab kerajaan (BN) untuk turun dan melihat masalah, kalau rakyat hadapi masalah kita bantu," katanya.

Turut hadir ialah Abdul Aziz, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah serta
pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Pos Brooke, Rashid
Akoh.

Pada majlis itu Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, bersetuju
secara prinsip untuk membina sebuah sekolah menengah di Pos Brooke bagi
kemudahan masyarakat setempat dan sekitarnya.

DUN Galas mempunyai 1,889 pengundi Orang Asli iaitu di Pos Balar, Pos
Hendrop, Pos Bihai, Pos Hau dan Pos Brooke.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan