Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata MBE akan disentuh kerana terdapat kebimbangan dasar itu akan menghakiskan kuasa ekonomi orang Melayu.
“Mereka takut Melayu akan hilang perlindungan jadi mereka mahu kepastian. Sebenarnya dasar itu melindungi bangsa Melayu dan bangsa lain juga.
Beliau berkata, gagasan 1Malaysia juga akan disentuh oleh pembahas berikutan wujudnya tafsiran berbeza terhadapnya sehingga ada pihak mentafsir mengikut selera dan kepentingan kumpulan tertentu.
Tengku Adnan juga menasihati perwakilan mengelak daripada menyentuh perkara yang sensitif dalam membahaskan usul ucapan dasar presiden, ekonomi dan pendidikan serta agama dan sosial.
“Harapan saya selepas berakhirnya perhimpunan ini, UMNO akan keluar sebagai juara kepada seluruh rakyat Malaysia. UMNO adalah parti yang memperjuangkan untuk semua,” katanya.
Sementara itu, katanya, buat pertama kalinya dalam Perhimpunan Agung UMNO ini juga akan menganjurkan persidangan forum antarabangsa yang akan disertai 40 parti politik seluruh dunia bagi membincangkan masalah global serta berkongsi pengalaman dalam masalah politik.
Tengku Adnan berkata, antara negara yang akan menyertai forum yang diadakan selama dua hari bermula 18 Oktober ini adalah Jepun, Indonesia, India, China, Iran, Iraq dan Afrika.
“Istimewanya forum ini akan menampilkan negarawan terkemuka iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyampaikan ucaptamanya dan majlis perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala majlis penutupnya akan dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Forum yang bertemakan ‘Pembentukan Masyarakat Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru’ akan diadakan di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.
Forum itu akan mengetengahkan seramai 500 peserta terdiri daripada kedutaan asing di negara ini, ahli Majlis Tertinggi UMNO, barisan exco pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serta parti komponen Barisan Nasional (BN).
Tengku Adnan berkata, forum itu amat penting bagi UMNO mempelajari dan berkongsi pengalaman dengan parti lain seperti mengetahui sebab kekalahan sesuatu parti itu dan cabaran yang dihadapi sesuatu parti politik.
Katanya, kekalahan Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun selepas lebih 50 tahun berkuasa walaupun selepas melakukan transformasi perlu diketahui dan diambil iktibar.
“Kita berbesar hati untuk mendengar, berkongsi dan menerima pandangan pelbagai pihak termasuk wakil negara asing agar semua permasalahan dapat diatasi demi kesepakatan sejagat pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan